Maksud Iman Kepada ALLAH?

Soalan:

Bolehkah tuan jelaskan kepada saya konsep beriman pada ALLAH secara terperinci agar saya dapat menjauhi perkara-perkara yang menyanggahi syarak berhubung dengan tuntutan ini.

Jawapan:

Beriman kepada ALLAH bermaksud menanamkan sepenuh keyakinan tentang kewujudan ALLAH, sifat Rububiyyah, Uluhiyah, nama dan sifat-sifatNYA.  Jadi, syarat beriman kepada ALLAH merangkumi empat perkara:

1.  Beriman kepada kewujudan ALLAH

Kewujudan ALLAH telah dibuktikan melalui fitrah, akal dan dalil-dalil syarak.

a)  Dalil Syarak

Kewujudan ALLAH diakui secara semulajadi oleh setiap makhluk.

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:

“Setiap bayi yang baru dilahirkan berada dalam keadaan fitrah (beragama Islam).  Tetapi ibu bapanyalah yang menjadikan dia Yahudi, Kristian atau Majusi.”  –  Riwayat al-Bukhari, no. 1358 dan Muslim, no. 2658

b)  Dalil Akal

Kewujudan ALLAH dapat dilihat dengan adanya makhluk dari zaman dahulu hingga kini.  Setiap ciptaan pasti ada penciptanya.  Ia tidak mungkin tercipta dengan sendiri atau secara kebetulan.  Kewujudan sistem yang sangat indah ini telah membuktikan dengan jelas bahawa ia tidak dicipta secara kebetulan.  Sesuatu yang terjadi secara kebetulan tidak akan memiliki sistem yang baik dan teratur.

Jadi, jika semua makhluk tidak mungkin tercipta dengan sendirinya, sudah pasti ada yang menciptanya, iaitu ALLAH TUHAN semesta alam.

Firman ALLAH SWT:

Maksudnya:  “Adakah mereka telah tercipta dengan sendirinya atau mereka yang telah mencipta diri mereka sendiri?”  –  Surah at-Thur, 52:35

Mustahil mereka dicipta tanpa pencipta atau tercipta dengan sendiri.  Sudah tentu ALLAH yang mencipta mereka.

Ketika Jubair bin Mut`im mendengar Rasulullah s.a.w membaca surah at-Thur hingga ayat yang maksudnya:

“Adakah mereka tercipta dengan sendiri tanpa pencipta atau mereka yang mencipta (diri mereka sendiri)?  Adakah mereka yang menciptakan langit dan bumi itu?  (Sudah tentu tidak!)  Bahkan, mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (apa yang mereka katakan).  Adakah mereka memiliki perbendaharaan TUHANmu atau merekakah yang berkuasa (mentadbir segala-galanya)?”  –  Surah at-Thur, 52:35-37

Ketika itu, Jubair masih seorang musyrik.  Beliau berkata:  “Ayat itu membuatkan hatiku hampir melayang.  Ketika itulah cahaya keimanan mula bertapak dalam hatiku.”  (Sahih al-Bukhari)

Jika ada seseorang menceritakan kepada kamu, ada sebuah istana dikelilingi taman yang indah, di celahannya mengalir sebatang sungai yang deras dan di dalamnya dipenuhi tempat beradu yang dihias cantik setiap penjuru.  Kemudian, dia berkata bahawa istana itu tercipta dengan sendirinya.

Dalam hal ini, sudah tentu kamu akan menolak dakwaan itu dan menganggap itu cerita bodoh.  Jadi, lojikkah alam yang meliputi langit, bumi dan planet-planet yang tersusun indah ini tercipta dengan sendirinya?

Dalil akal ini boleh difahami oleh orang Badwi yang tinggal di ceruk kampung, jauh dari manusia lain.  Jika dia ditanya bagaimana dia mengetahui tentang TUHANnya, dia menjawab:

“Kewujudan najis unta menunjukkan wujudnya unta.  Bekas tapak kasut menunjukkan ada orang berjalan.  Tidakkah langit yang berbintang, bumi yang berbukit-bukau dan lautan yang berombak menunjukkan kewujudan TUHAN yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat?”

2.  Beriman pada sifat Rubbubiyyah ALLAH

Maksud Rubbubiyyah ialah mengakui ALLAH sebagai TUHAN dan DIA tidak mempunyai sekutu atau pembantu.

Al-Rabb, iaitu TUHAN yang Mencipta, menjadi Raja dan Pentadbir.  Oleh itu, tiada pencipta selain ALLAH.  Tiada raja selain ALLAH.  Tidak ada yang mentadbir segala urusan melainkan ALLAH.

Firman ALLAH SWT yang maksudnya:

“Ingatlah, kepada ALLAH jualah segala urusan penciptaan (sekalian makhluq) dan urusan pemerintahan.”  –  Surah al-A`raf: 54

Firman ALLAH SWT yang maksudnya:

“Tanyalah kepada mereka (orang musyrik):  Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan?  Siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup?  Siapakah yang mentadbir segala urusan?  Orang-orang musyrik itu pasti menjawab:  ALLAH lah yang menguasai segala-galanya!  Oleh itu, katakanlah, mengapa kamu tidak mahu bertakwa?”  Surah Yunus:  31.

Firman ALLAH SWT yang maksudnya:

“Yang melakukan semua itu adalah ALLAH, TUHAN kamu.  Bagi-NYA lah kuasa pemerintahan.  Sedangkan mereka yang kamu sembah selain ALLAH tidak mempunyai apa-apa walaupun senipis kulit biji kurma.”  –  Surah Fatir:  13.

3.  Beriman pada Uluhiyyah ALLAH

Maksudnya, mengakui ALLAH sebagai TUHAN sebenar yang berhak disembah dan tiada sekutu bagi-NYA.  Makna al-Illah, iaitu TUHAN yang disembah, dicintai dan diagungkan.  Ia merangkumi maksud la Ilaaha illallah, iaitu tiada TUHAN yang berhak disembah melainkan ALLAH.

Firman ALLAH SWT yang maksudnya:

“TUHAN kamu TUHAN yang Satu.  Tiada TUHAN selain DIA.  DIA Maka Pemurah lagi Penyayang.”  –  Surah al-Baqarah:  163

Firman ALLAH SWT yang maksudnya:

“ALLAH menyatakan bahawa tidak ada TUHAN yang berhak disembah selain DIA.  Yang menegakkan keadilan.  Para malaikat dan orang-orang yang berilmu mengakui (dan menegaskan yang demikian).  Tiada TUHAN (yang berhak disembah) melainkan DIA.  Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”  –  Surah ali-Imran:  18.

Sesiapa yang menyembah selain ALLAH, maka tauhid Uluhiyyahnya akan terbatal.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Ini kerana, DIA adalah TUHAN sebenar.  Semua yang mereka sembah selain ALLAH itu ternyata palsu.  Sesungguhnya ALLAH Maha Tinggi lagi Maha Besar.”  –  Surah al-Haj:  62.

Firman ALLAH SWT mengenai kisah nabi Yusuf a.s ketika berkata kepada dua orang penghuni penjara, yang maksudnya:

“Wahai dua orang sahabat sepenjaraku, manakah lebih baik, TUHAN yang pelbagai atau ALLAH yang ESA lagi Maha Perkasa.  Apa yang kamu sembah, selain daripada ALLAH, hanyalah nama-nama yang kamu dan datuk nenek kamu namakan.  ALLAH tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya.”  –  Surah Yusuf:  39-40

Tiada yang berhak disembah melainkan ALLAH.  Hak ini tidak boleh dikongsi dengan sesiapa pun, sama ada malaikatm nabi mahupun Rasul.  Oleh itu, dakwah para rasul semenjahk Nabi Adam a.s sehingga Nabi Muhammad s.a.w hanya tertumpu kepada kalimah laa Ilaaha illallah.

Firman ALLAH SWT, yang maksudnya:

“KAMI tidak utuskan seorang rasul pun sebelum kamu (wahai Muhammad) melainkan mewahyukan kepadanya bahawa bahawa tiada TUHAN yang berhak disembah melainkan AKU.  Oleh itu, beribadahlah kamu kepada-KU.”  –  Surah al-Ambiyak:  25

Tetapi kaum musyrikin enggan menerima dakwah para rasulini.  Mereka terus-menerus mensyirikkan ALLAH dan meminta pertolongan kepada tuhan mereka.

4.  Beriman pada nama-nama dan sifat-sfat ALLAH.

Beriman pada nama dan sifat ALLAH ialah meyakini semua nama dan sifat-NYA yang telah ditetapkan melalui al-Quran dan sunnah mengikut cara yang layak dengan keagungan-NYA tanpa sebarang tahrif (perubahan), ta`til (penafian), takyif (bertanya bagaimana) dan tamtsil (menyamakan dengan makhluk)

Firman ALLAH SWT yang maksudnya:

“ALLAH mempunyai nama-nama yang baik (mulia).  Oleh itu, berdoalah kepada-NYA dengan menyebut nama-nama itu.  Pulaukanlah orang-orang yang berpaling daripada kebenaran dalam menggunakan nama-nama-NYA.  Mereka akan mendapat balasan atas apa yang telah mereka kerjakan.”  –  Surah al-A`raf:  180.

Banyak berlaku perbezaan pendapat di kalangan ummat Islam dalam membahaskan nama dan sifat ALLAH.  Namun, pendekatan terbaik ialah seperti yang dilakukan oleh golongan Ahli Sunnah wal Jamaah, iaitu menyerahkan urusan itu kepada ALLAH tanpa takwil, ta`til, takyif dan tahrif.  Apa yang tidak dijelaskan dalam al-Quran dan sunnah, mereka diamkan diri.

Firman ALLAH SWT yang maksudnya:

“Kemudian jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu perkara, kembalilah kepada ALLAH (al-Quran) dan Rasul-NYA (sunnah), jika benar kamu beriman pada ALLAH dan hari kiamat.”  –  Surah an-Nisa':  59

Selain al-Quran dan sunnah, ummat Islam juga dituntut beri`tiqad dengan aqidah yang dipegang oleh salafussoleh, iaitu para sahabat, tabi`in dan tabi` tabi`in.  Ini kerana, mereka adalah generasi yang paling tahu maksud firman ALLAH dan sabda Rasul-NYA.

`Abdullah bin Mas`ud r.a berkata:

“Sesiapa antara kamu yang ingin mengikut jejak kami, maka ikutilah orang yang telah meninggal dunia.  Yang masih hidup tidak akan terlepas daripada fitnah.  Mereka adalah para sahabat Nabi s.a.w.  Merekalah umat yang paling baik, memiliki ilmu yang dalam dan tidak melampau.

Mereka adalah generasi yang telah dipilih oleh ALLAH untuk menegakkan agama-NYA dan menjadi sahabat setia Nabi.  Kenalilah kedudukan mereka dan berpeganglah pada petunjuk mereka kerana mereka berada di atas jalan yang lurus.”

Sesiapa yang menyimpang dari manhaj mereka, dia telah tersasar daripada jejak langkah orang-orang yang beriman.  Mereka akan mendapat seksaan di akhirat kelak.

Firman ALLAH SWT yang maksudnya:

“Sesiapa yang menentang ajaran Rasulullah sesudah jelas padanya kebenaran yang dibawanya dan mengikut jalan selain dari jalan orang-orang yang beriman, KAMI akan membiarkannya dalam kesesatan itu dan pada hari kiamat kelak, KAMI akan memasukkannya ke dalam neraka jahannam dan ia adalah seburuk-buruk tempat kembali.”  –  Surah an-Nisa':  115

ALLAH mensyaratkan seseorang beriman seperti para sahabat kerana hanya dengan cara itu sahaja dia akan mendapat petunjuk.

Firman ALLAH SWT yang maksudnya:

“Jika mereka beriman seperti kamu (para sahabat), maka mereka pasti mendapat petunjuk.”  –  Surah al-Baqarah:  137

Keimanan pada nama dan sifat ALLAH menuntut kita menjauhi empat perkara, iaitu tahrif, ta`til, tamtsil dan takyif.

i)  Tahrif atau takwil

Mengubah maksud pada nama dan sifat ALLAH yang dinyatakan dalam al-Quran dan sunnah kepada maksud lain.  Contohnya, mentafsirkan tangan dalam al-Quran dengan makna nikmat atau kekuasaan.

ii)  Ta`til

Menolak semua atau sebahagian nama dan sifat ALLAH.  Sesiapa yang menolak salah satu daripada nama atau sifat ALLAH, sedangkan perkara itu dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran dan sunnah, dia dianggap tidak beriman pada nama dan sifat ALLAH.

iii)  Tamtsil

Menyamakan sifat ALLAH dengan makhluq.  Misalnya, tangan ALLAH sama dengan tangan makhluq, ALLAH mendengar sama dengan makhluq atau ALLAH bersemayam di atas `Arasy sama seperti seorang manusia bersemayam di atas kerusi dan sebagainya.

Firman ALLAH SWT yang maksudnya:

“Tidak ada yang menyamai-NYA (dari segi zat, sifat dan kekuasaannya).  DIA lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”  –  Surah asy-Syura:  11.

iv)  Takyif

Maksudnya, cuba memikirkan atau mencari hakikat sifat ALLAH secara mendalam.  Perbuatan ini boleh menyesatkan kerana manusia tidak mungkin mengetahui hakikat sebenar ALLAH.

Firman ALLAH yang maksudnya:

“Mereka tidak mengetahuinya secara menyeluruh.”  –  Surah Taha:  110

Sesiapa yang menjauhi empat larangan ini, bererti dia telah beriman pada ALLAH dengan sempurna.

(Risalah Syarh Usul  al-Iman,Ibn `Uthaimin)

About these ads




%d bloggers like this: