Perhubungan Kerana ALLAH?

Soalan:

Saya mengenali seorang wanita yang menyebabkan saya lebih dekat dengan ALLAH.  Dia terlalu baik dan mempunyai cirri-ciri wanita solehah.  Kami selalu berjumpa untuk membincangkan hal-hal agama dan meningkatkan kecintaan kepada ALLAH.

Dia selalu menggalakkan saya supaya menghafal al-Quran, menunaikan solat malam, menasihati saya supaya lebih dekat dengan ALLAH.  Saya keliru dengan perhubungan ini.  Adakah perhubungan ini dibenarkan kerana kami berkawan kerana ingin mencari redha ALLAH?

Jawapan:

Ramai pemuda Islam melakukan kesilapan dalam hal ini.  Mereka telah terperangkap dalam mainan syaitan yang sentiasa menggesa ummat Islam melakukan kejahatan.

Berhati-hatilah dengan tipu daya syaitan yang membuatkan kejahatan dipandang sebagai kebaikan.  Syaitan sentiasa mengetuk pintu dan menyelewengkan hidayah ALLAH daripada kamu.

Hayatilah firman ALLAH subhanahu wa ta`ala di bawah:

قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لأقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ

“Iblis menjawab:  Disebabkan ENGKAU menghukumkan aku sesat, aku akan mengambil tempat menghalangi mereka dari jalanMU yang lurus.”  (Surah al-A`raf, 7:16)

ثُمَّ لآتِيَنَّهُمْ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ

 وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَنْ شَمَائِلِهِمْ وَلا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ

“Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta belakang mereka, dari kanan mereka serta kiri mereka dan ENGKAU tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.”  (Surah al-A`raf, 7:17)

Ibnu Jauzi rahimahullah berkata:

“Iblis sentiasa memerangkap manusia selagi dia mampu.  Kadang-kadang kemampuannya berkurang dan bertambah di mana ia bergantung kepada kesedaran dan kelekaan mereka yang jahil dan berilmu.  Ingatlah, hati itu seperti kubu.  Syaitan sentiasa mengelilingi kubu tersebut untuk melihat pengawalnya dalam keadaan leka.  Pengawal perlu tahu setiap pintu kubu yang telah diamanahkan untuk menjaganya.  Dia tidak boleh terleka walau sekelip mata kerana musuh tidak pernah membiarkannya.  Seorang lelaki bertanya kepada Hasan al-Basri:  Adakah iblis itu tidur?  Dia menjawab:  Jika dia tidur, sudah pasti kita mempunyai masa rehat.”  –  Rujuk Talbis Iblis, mukasurat 52.

Ketahuilah, ini cabang panahan syaitan terhadapmu.  Bermula dengan pandangan mata sehinggalah kepada perkenalan yang kononnya berlandaskan agama, dihiasi dengan nasihat dan perbincangan-perbincangan agama.  Inilah fitnah yang paling besar bagi kamu.

Kamu juga selalu berjumpa dengannya.  Inilah pergaulan yang dilarang kerana ALLAH melarang seorang lelaki dan wanita bersama-sama tanpa hubungan yang sah.

Sabda Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam:

“Tidak bersunyi-sunyian lelaki dan wanita (bukan mahram), melainkan syaitan akan menjadi yang ketiga di antara mereka.”  –  Hadith riwayat al-Tirmizi: 1901.

Ali bin Abi Talib radhiAllahu `anhu berkata:

“Seorang perempuan dari Khath`am datang kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan meminta fatwa daripada baginda dan berkata:  Sesungguhnya penurunan kewajiban berbuat haji telah diturunkan sedangkan bapaku seorang yang tua dan nyanyuk.  Adakah dikenakan juga ke atasnya dan bolehkah aku menunaikan untuknya.  Baginda bersabda:  Ya, perbuatkanlah untuk bapamu.  Berkata Ali:  Ketika itu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam memalingkan leher Al-Fadhal.  Ibn `Abbas berkata:  Wahai Rasulullah, mengapa kamu memalingkan muka sepupumu?  Baginda berkata:  Aku melihat seorang lelaki dan seorang wanita.  Mereka berdua tidak aman dari dipengaruhi syaitan (selagi dia terus memandang).”  –  Hadith riwayat Ahmad: 530)

Kami nasihatkan agar kamu membuat keputusan terhadap perhubungan ini.  Samada mengambilnya sebagai isteri jika dia mempunyai akhlaq dan pegangan agama yang baik.  Atau memutuskan perhubungan ini kerana ia akan membawa keburukan dan kejahatan.

(Dipetik dari Fatwa Adab:  Muhammad bin Soleh Al-Munajid, Muhammad bin Soleh al-`Uthaimin, Abdul Aziz bin Baz.  Terbitan Karya Bestari)



%d bloggers like this: