Bolehkah Menghindari Kematian?

Soalan:

Adakah kematian seseorang itu telah ditentukan?  Bolehkah seseorang berusaha untuk menghindarinya?  Bolehkah dia menentukan taqdirnya sendiri?

Jawapan:

Setiap sesuatu telah pun ditentukan.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Setiap perkara yang kecil dan besar tetap dicatat”  –  Surah al-Qamar:  53

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sesuatu yang paling awal dicipta ALLAH ialah al-Qalam.  ALLAH berfirman kepadanya:  Tulislah!  Al-Qalam berkata:  Wahai TUHANku, apa yang harus aku tulis?  ALLAH berfirman:  Tulislah apa-apa yang akan berlaku hingga hari kiamat”  –  Hadith sahih riwayat at-Tirmizi, no. 2155 dan Abu Daud, no. 4700.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“ALLAH telah menentukan taqdir seluruh makhluq sebelum menciptakan langit dan bumi selama 50,000.”  –  Hadith sahih riwayat at-Tirmizi.

Kita tidak tahu apakah ketentuan yang ditetapkan oleh ALLAH untuk kita.  Jadi, kita tidak boleh berserah diri bulat-bulat serta langsung tidak berusaha dalam hidup.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Wahai hamba ALLAH, berubatlah tetapi janganlah kamu berubat dengan sesuatu yang haram.  Sebab ALLAH tidak menurunkan penyakit melainkan DIA menurunkan bersama itu penawar atau ubatnya.”  –  Riwayat Abu Daud, no. 3874.

Kita memang tidak tahu sebarang ketentuan ALLAH sehinggalah ia terjadi.  ALLAH memberi kita kuasa pilihan dalam menentukan sesuatu dalam hidup.  Walau bagaimanapun, perkara itu tetap berlaku atas kehendak ALLAH.

Kesimpulannya, tiada percanggahan antara usaha menyelamatkan seseorang daripada kematian dengan qadha’ ALLAH yang telah ditulis.  Oleh itu, sesorang hendaklah berusaha untuk mengubati sesuatu penyakit atau menghindari sesuatu bencana sebelum ia terjadi.  Jika sesudah berusaha kematian tetap menjemput, maka barulah dikatakan taqdir ALLAH.

(Dr. Sulaiman al-Ghasn)



%d bloggers like this: