Bolehkah Ubah Taqdir?

Soalan:

Bolehkah kita lakukan sesuatu untuk mengubah taqdir yang tertulis buat kita?

Jawapan:

Tiada apa yang boleh mengubah taqdir.  Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak jua yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam kitab (pengetahuan KAMI) sebelum KAMI menjadikannya.  Sesungguhnya mengadakan yang demikian itu mudah bagi ALLAH.”  –  Surah al-Hadid: 22

Ibnu `Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Pena telah menulis (taqdir) dan tiada catatan (taqdir) setelah itu.”  –  Riwayat at-Tirmizi, no. 2516.  Beliau berkata bahawa hadith ini sahih.

Al-Mubarakfuri berkata:

“Maksud hadith itu, seluruh taqdir telah ditulis dalam Lauh Mahfuz dan tidak akan ditulis lagi selepas itu.”  (Tuhfah al-Ahwazi, jil: 7, ms: 186)

Penulisan taqdir terbahagi kepada dua.  Pertama, taqdir yang tidak akan berubah.  Kedua, taqdir yang boleh berubah, iaitu catatan taqdir yang dipegang oleh malaikat.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“ALLAH memadam apa jua yang dikehendakiNYA dan DIA juga menetapkan apa yang dikehendakiNYA.  Dan (ingatlah) pada sisiNYA ada ibu segala suratan.”  –  Surah al-Ra`d:  39

Kenyataan ini termasuk dalam hadith yang menyebut bahawa silaturahim boleh memanjangkan usia dan memperluaskan rezeki.  Sebuah hadith menyebut bahawa doa boleh menolak taqdir.  Walau bagaimanapun, halitu telah tertulis di Lauh Mahfuz.

Sheikh al-Islam Ibnu Taimiyyah r.h pernah ditanya samada rezeki seseorang boleh bertambah dan berkurang.  Lalu beliau menjawab:

“Rezeki terbahagi kepada dua, iaitu yang tidak berubah dan apa yang telah tertulis tetapi ALLAH memerintahkan malaikat agar menambah atau menguranginya atas sebab-sebab tertentu.  ALLAH memerintahkan malaikat agar menulis rezeki seorang hamba.  Jika dia menjalinkan silaturahim, ALLAH akan menambah rezekinya.”

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:

“Sesiapa yang ingin memperluaskan rezeki dan dipanjangkan usia, maka dia hendaklah menjalinkan silaturahim.”  –  Riwayat al-Bukhari.

Umur Nabi Daud a.s ditambah 60 tahun sehingga menjadi 100 tahun.  Padahal usianya yang sebenarn hanya 40 tahun.

Umar al-Khattab r.a berkata yang maksudnya:

“Ya ALLAH, jika ENGKAU telah menulis diriku sebagai orang yang hidup dalam kesusahan, maka padam dan tulislah diriku ini sebagai orang yang bahagia.  Sesungguhnya ENGKAU dapat memadam dan menetapkan apa sahaja yang ENGKAU kehendaki.”

Firman ALLAH SWT yang maksudnya:

“Sembahlah olehmu akan ALLAH dan bertaqwalah kepadaNYA serta taatlah kamu kepadaKU.  ALLAH akan mengampunkan sebahagian daripada dosa-dosa kamu dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa tertentu.” –  Surah Nuh:  3-4

Ini semua termasuk perkara yang ditaqdirkan dan telah ditulis oleh ALLAH.  Jika sebelum itu seseorang dikurniakan rezeki dengan usahanya sendiri, maka ALLAH akan mengilhamkan jalan lain.  Taqdir rezeki tidak akan diperolehi melainkan dengan berusaha.  Kematian ahli keluarga termasuk sesuatu yang datang tanpa usaha.

Usaha terbahagi kepada dua.  Pertama, usaha untuk memperolehi rezeki, seperti perindustrian, perladangan dan perniagaan.  Kedua, usaha menerusi doa, tawakkal, ihsan dan sebagainya.

(Majmu` al-Fatawa, jil: 8, ms: 540-541)



%d bloggers like this: