Berapa Had Umur Budak Lelaki Bagi Wanita Menutup Aurat?

Soalan:

Berapakah had umur kanak-kanak lelaki yang perlu bagi wanita menutup aurat mereka?  Adakah ketika dia sudah mumaiyyiz atau sampai umur baligh?

Jawapan:

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

Seseorang wanita tidak dibenarkan membuka aurat kepada kanak-kanak lelaki yang mempunyai daya keinginan seksual yang tinggi.  Contohnya, apabila memandang wanita membuatkan kanak-kanak itu bernafsu.

Namun, jika kanak-kanak tersebut tidak mempunyai sebarang keinginan wanita dan tidak bernafsu, ia dibolehkan.  (Rujuk Majmu`ah As’ilah Tuhimmul Usrah Muslimah, jil: 148)

Antara perkara yang menggambarkan kanak-kanak lelaki tersebut mempunyai keinginan melihat aurat wanita ialah:

a)  Dia suka menceritakan keadaan wanita di depan orang lain.

b)  Membezakan di antara wanita yang cantik dan yang tidak cantik.

c)  Membandingkan wanita dari segi bentuk badan dan sifat mereka.

d)  Suka memandang dan merenung wanita.

Oleh itu, berhati-hati dalam mendidik anak-anak.  Didik dan ajarlah adab serta akhlaq Islami yang tepat.  jagan sia-siakan hidup mereka dengan anasir-anasir yang boleh mengganggu kehidupan mereka.

(Rujuk fatawa Sheikh Myhammad Soleh al-Munajjid)



%d bloggers like this: