Syarat La Ilaha Illa ALLAH?

Soalan:

Apakah antara syarat yang terkandung dalam kalimah ‘La Ilaha illa ALLAH’?

Jawapan:

Syarat La Ilaha illa ALLAH terbahagi kepada tujuh.

a)  Mengetahui, iaitu berlawanan dengan jahil.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Ketahuilah bahawa tiada TUHAN yang berhak disembah melainkan ALLAH.”  –  Surah Muhammad:  19.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:

“Sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan mengetahui bahawa tiada TUHAN melainkan ALLAH, dia akan masuk Syurga.”  –  Riwayat al-Bukhari.

b)  Yakin

Sesiapa yang mengucap La Ilaha illa ALLAH mesti yakin sepenuhnya maksud kalimah itu.  Pengakuan ini tidak sah jika seseorang itu berasa ragu.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang beriman hanyalah mereka yang benar-benar percaya pada ALLAH dan RasulNYA.  Kemudian mereka tidak lagi berasa ragu.  Mereka berjuang dengan harta dan jiwa raga pada jalan ALLAH.  Mereka itulah orang-orang yang benar.”  –  Surah al-Hujurat:  15.

Orang yang ragu terhadap ALLAH dan RasulNYA dianggap munafik.  Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Aku beraksi bahawa tiada TUHAN selain ALLAH dan aku adalah pesuruh ALLAH.  Seorang hamba yang bertemu ALLAH dengan kedua-dua kalimah syahadah ini tanpa meraguinya, dia akan masuk Syurga.”  –  Riwayat al-Bukhari.

Hadith di atas menjelaskan jika seseorang ingin memasuki Syurga dengan kalimah La Ilaha illa ALLAH, dia perlu benar-benar yakin maksud kalimah itu.  Jika dalam hatinya terselit perasaan ragu, dia tidak termasuk dalam hadith di atas.

c)  Menerima dan mengakui kalimah ini dengan hati dan lidah.

Ummat terdahulu terselamat daripada bencana disebabkan kalimah La Ilaha illa ALLAH.  Mereka juga mendapat bencana kerana enggan menerima kalimah itu.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“(ALLAH berfirman kepada malaikat): Himpunkanlah orang-orang yang zalim itu, dan orang-orang yang berkeadaan seperti mereka, serta benda-benda yang mereka sembah. Yang lain dari ALLAH serta hadapkanlah mereka ke jalan yang membawa ke Neraka. Dan hentikanlah mereka (menunggu), kerana sesungguhnya mereka akan disoal.  Mengapa kamu tidak bertolong-tolongan (sebagaimana yang kamu dakwakan dahulu)?  (Mereka pada ketika itu tidak dapat berbuat apa-apa) bahkan mereka pada hari itu menyerah diri dengan hina (untuk diadili).  Dan masing-masing pun mengadap satu sama lain, sambil kata mengata dan cela mencela.  Pengikut-pengikut berkata (kepada ketuanya): Sesungguhnya kamu dahulu selalu datang menyekat kami (daripada beriman) dengan menggunakan kuasa kamu.  Ketua-ketuanya menjawab: (Tidak!) Bahkan kamulah sendiri tidak mahu menjadi orang-orang yang beriman!  Dan kami (selain daripada mengajak kamu) tidak mempunyai sebarang kuasa memerintah kamu, bahkan kamu sememangnya kaum yang melampaui batas.  (Dengan keadaan diri kita yang sedemikian) maka tetaplah di atas kita janji seksa (yang dijanjikan) oleh Tuhan kita, bahawa kita semua tentu akan merasai (azab itu).  (Dengan sebab ketentuan yang tersebut) maka kami pun mengajak kamu menjadi sesat, kerana sebenarnya kami adalah orang-orang sesat.  Maka sesungguhnya mereka semua pada hari itu, menderita azab bersama.  Sesungguhnya demikianlah Kami melakukan kepada orang-orang yang berdosa.  Sebenarnya mereka dahulu apabila dikatakan kepadanya; (ketahuilah, bahawa) tiada TUHAN yang sebenar-benarnya melainkan ALLAH mereka bersikap takbur mengingkarinya.  Serta mereka berkata: Patutkah kami mesti meninggalkan tuhan-tuhan yang kami sembah, kerana mendengar ajakan seorang penyair gila?  –  Surah as-Saffat:  22-36

Keengganan mereka mengucapkan kalimah La Ilaha illa ALLAH dan menolak dakwah para rasul adalah penyebab mereka diseksa oleh ALLAH.  Mereka tidak melaksanakan segala tuntutan kalimah tauhid.  Bahkan dengan bongkak mengatakan:

Patutkah dia menafikan tuhan-tuhan yang berbilang itu dengan mengatakan: TUHAN hanya Satu? Sesungguhnya ini adalah satu perkara yang menakjubkan!  Dan (ketika itu) keluarlah ketua-ketua dari kalangan mereka (memberi perangsang dengan berkata): Jalan terus (menurut cara penyembahan datuk nenek kamu) dan tetap tekunlah menyembah tuhan-tuhan kamu. Sebenarnya sikap ini adalah satu perkara yang amat dikehendaki.  Kami tidak pernah mendengar tentang (soal mengesakan TUHAN) itu dalam agama yang terakhir; perkara ini tidak lain hanyalah rekaan dan dusta semata-mata.”  –  Surah Sad:  57

ALLAH menolak kata-kata mereka itu melalui firmanNYA yang bermaksud:

“(Tidak! Nabi Muhammad bukan penyair dan bukan pula seorang gila) bahkan ia telah membawa kebenaran (tauhid) dan mengesahkan kebenaran (tauhid) yang dibawa oleh Rasul-rasul (yang terdahulu daripadanya).”  –  Surah as-Saffat:  37

Firman ALLAH SWT berhubung orang-orang yang meyakini kalimah La Ilaha illa ALLAH:

“Kecuali hamba-hamba ALLAH yang dibersihkan dari sebarang syirik.  Mereka itu beroleh limpah kurnia yang termaklum.  Iaitu buah-buahan (yang lazat), serta mereka mendapat penghormatan.  Di dalam Syurga-syurga yang penuh melimpah dengan berjenis-jenis nikmat.”  –  Surah as-Saffat:  40-43

Abu Musa r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Perumpamaan ALLAH mengutuskan aku dengan ilmu dan hidayah bagaikan hujan yang lebat yang jatuh ke permukaan bumi.  Sebahagian daripadanya mengenai tanah yang subur dan menyimpan air dengan baik.  Lalu ia menumbuhkan rumput dan tumbuhan dengan subur.  Sebahagian yang lain mengenai tanah yang tandus yang tidak dapat menyimpan air.  Maka ALLAH memberi manfaat dengannya kepada manusia.  Mereka meminum dan memberi minuman (kepada binatang ternakan dan sebagainya) dan bercucuk tanam.  Ada juga hujan yang jatuh ke bahagian lain, iaitu di tanah yang tidak dapat menakung air dan tidak ditumbuhi rumput.  Itulah perumpamaan orang yang alim tentang agama ALLAH dan memanfaatkan ilmu yang ALLAH utuskan padaku.  Dia belajar dan mengajarkan ilmu itu.  Perumpamaan kedua pula merujuk kepada orang yang keras kepala dan tidak mahu menerima hidayah ALLAH yang dengan itu aku diutuskan”  –  Riwayat al-Bukhari

d)  Bersedia meninggalkan perkara yang bercanggah dengan tuntutan La Ilaha illa ALLAH

Firman ALLAH yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada ALLAH (dengan ikhlas) sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada ALLAH jualah kesudahan segala urusan.”  –  Surah Luqman:  22.

Sesiapa yang tidak mahu berserah diri kepada ALLAH dengan ikhlas, bererti dia tidak berpegang pada tali ALLAH.

Firman ALLAH SWT yang maksudnya:

“Dan sesiapa yang kufur ingkar, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita tentang kekufurannya itu; kepada Kamilah tempat kembalinya mereka, kemudian Kami akan memberitahu kepada mereka tentang apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.”  –  Surah Luqman:  23.

e)  Jujur dengan pengakuan yang dibuat.

Seseorang hendaklah mengucapkan kalimah La Ilaha illa ALLAH dengan jujur dari hati.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?  Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.”  –  Surah al-`Ankabut:  2-3.

ALLAH menceritakan keadaan orang-orang munafiq yang berdusta ketika mengucapkan kalimah tauhid ini.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Dan di antara manusia ada yang berkata: Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.  Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.  Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).”  –  Surah al-Baqarah:  8-9.

f)  Ikhlas dan membersihkan diri daripada amalan syirik.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik)”  –  Surah az-Zumar:  3.

ABu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Manusia yang paling beruntung kerana memperoleh syafaatku pada Hari Kiamat adalah orang yang mengucapkan La Ilaha illa ALLAH dengan ikhlas dari hati atau jiwa raganya”  –  Riwayat al-Bukhari.

g)  Mencintai kalimah itu.

Cara mencintai kalimah itu ialah dengan mengamalkan segala tuntutan, mematuhi syarat-syarat dan membenci perkara-perkara yang bercanggah dengan maksudnya.

Firman ALLAH SWT yang maksudnya:

(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah”  –  Surah al-Baqarah:  165

Orang-orang mukmin teramat cinta pada ALLAH.  Mereka tidak menyekutukan ALLAH dalam percintaan itu.  Sebaliknya kaum musyrikin pula telah menjadikan sekutu ALLAH sebagai kekasih mereka.

Anas bin Malik r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Iman seseorang itu tidak akan sempurna sehingga dia menjadikan aku orang yang paling dicintainya berbanding ibubapa, anaknya dan seluruh ummat manusia”  –  Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

(Fatwa Sheikh Muhammad bin Soleh al-Munajjid)





%d bloggers like this: