Bolehkah Menolak Pilihan Ibu Bapa?

Soalan:

Sejauh manakah ibu bapa mempunyai hak untuk memilih pasangan hidup untuk anaknya?  Adakahkita berhak menolak pilihan ibu bapa?

Jawapan:

Prinsip utama untuk memenuhi syarat perkahwinan ialah persetujuan daripada kedua-dua pihak.

Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Seorang janda tidak boleh dikahwini selagi dia belum memberi pendapatnya dan seorang anak dara tidak boleh dikahwini selagi dia tidak memberi persetujuan.  Mereka bertanya:  Wahai Rasulullah, bagaimana kita mengetahuinya?  Baginda menjawab:  Jika dia diam.”  –  Hadith riwayat al-Bukhari, 4741.

Persetujuan sangat penting bagi pihak suami dan isteri.  Ibu bapa tidak mempunyai hak untuk memaksa anaknya berkahwin dengan pilihan mereka.

Tetapi seseorang itu wajib mengikut pilihan kedua-dua ibu bapanya jika pilihan itu tergolong dalam hadith, iaitu maksudnya:

“Sekiranya seseorang yang datang meminang kepadamu (anakmu) merupakan seorang yang berpegang teguh kepada ajaran Islam dan mempunyai sikap yang disukai, kahwinilah (anak perempuan) kamu dengannya.”  –  Hadith riwayat at-Tirmizi:  1084.  Hadith ini diklasifikasikan sebagai hasan oleh al-Albani dalam Sahih at-Tirmizi: 865.

Jika dengan mematuhi arahan ibu bapa boleh menyebabkan perceraian di kemudian hari, maka tidak perlu mematuhinya.  Persetujuan mestilah mengikut batasan syariat.  Seseorang itu tidak dikira derhaka atau berdosa jika tidak mengikut arahan ibu bapanya dalam perkara ini.

Sheikh Ibnu Taimiyyah r.a berkata:

“Ibu bapa tidak berhak memaksa anaknya mengahwini seseorang yang tidak disukainya.  Jika dia membantah bukanlah bermaksud dia seorang yang derhaka, sama seperti jika dia tidak mahu makan apa yang dia tidak ingini.”

(Rujuk al-Ikhtiyaaraat: 344)



%d bloggers like this: